27.12.10

Menangis dalam Gembira

Taqi selamat diijabkabul dengan Salwa tanggal 17 Disember 2010.

Satu tarikh yang akan aku ingat sampai bila-bila. Teman yang paling rapat denganku, akhirnya pergi meninggalkan aku.

Aku sudah menjangka hari ini akan tiba, namun yang aku tak jangka, aku menangis di hari bahagianya. Pasti dia kecewa denganku kerana sepatutnya aku tumpang gembira dengan perkahwinannya.

Ya, aku gembira. Malahan akulah yang amat beria-ia mengambil foto dan videonya saat upacara pernikahan berlangsung. Masakan tidak, mereka ditemukan dan aku menjadi salah satu faktor pertemuan itu.

Kenapa aku menangis? Untuk memberi tanda kepada Taqi. Aku tidak mahu menjadi "hanya sekadar teman". Aku mahu jadi teman yang masih diharapkan kewujudannya, masih diperlukan keberadaannya, masih dipinta bantuannya, masih mahu disayangi, walau tidak seperti dahulu.

Taqi pernah berkata kepadaku "Jangan rasa ingin berkahwin semata-mata melihat orang lain berkahwin". Tidak! Jika orang lain berkahwin, tidak akan aku terasa ingin berkahwin. Tapi yang membuatkan aku rasa ingin berkahwin kerana aku melihat dia berkahwin.

Sudah seminggu berlalu, tangisanku juga telah kering. Namun, hatiku kosong tidak terisi. Aku sentiasa membayangkan untuk mengisi dengan kehadiran Allah, tapi hakikatnya, semua itu amat payah untuk kucapai.

Ya Allah, kau ampunkan aku kerana selama ini aku hanya meminta kepadaMu ketika aku tertekan dan perlukan bantuan. Kau terimalah aku kembali. Aku sudah tidak tahan dengan tekanan dan kesedihan ini. Ramai kawan-kawan yang cuba memberiku semangat, namun kerana aku hanya mengharapkan Taqi yang memberiku semangat itu, aku masih tidak berpuas hati. Kini aku mahu memandangMu dan hanya diriMu.

Kini...

Sudah lega sedikit. Masih merindui, tapi tak terasa sangat dah kehilangan. Harap2 lepas ni bolehlah menjalani hidup dengan aman dan tenteram. Taqi pun rasanya ingin menjauhkan diri dari aku sementara, jadi baik saja kami membawa haluan masing-masing untuk setahun dua. Manalah tahu, saat bertemu kembali hubungan persahabatan kami lebih erat dari dulu. Hati yang kosong akan kuisi dengan mengingati yang tidak akan berpisah, walau aku tahu, tak mungkin dapat diisi kerana maha besarnya Dia.

Mungkin ini cuma kejutan yang hanya aku merasainya kerana masih belum matang, dan masih mahu bergantung dengan manusia. Mulai hari ini, aku akan perbesarkan ruang lingkup kesetiaanku daripada hanya seorang teman kepada ramai teman. Mungkin dengan cara itu hatiku tidak terlalu kecewa apabila ditinggalkan.

Please pray for me...

No comments:

Post a Comment

Yang Setia Padaku

Masih Setia Bersamaku